"Kenapa Bincang Soal Remeh"

Tuesday, July 13, 2010 Leave a Comment


Pagi ini ada orang bertanya "kenapa KSSG tidak menulis perkara yang agak sensasi sebaliknya perkara remeh dan aktiviti semasa KSSG sahaja. Kenapa tidak menulis seperti beberapa gurulatih lain".

Perkara ini telahpun pihak kami jawab sebelum ini dalam entri-entri yang lepas. Pihak kami hanya satu pihak kecil di suatu kawasan Selangor yang mana hanya komitmen akan menjelaskan siapa kami. Kami bukan golongan hebat dari sudut ilmu mahupun pentadbiran. Jauh sekali nama dan pangkat. Maka semua perkara yang ingin dilihat dan dibaca boleh dibaca kepada blog-blog yang sedia ada.

Cuma kami tidak bersetuju dengan perkara "remeh". Kerana bagi kami perkara yang remeh inilah selalunya kami tekankan kerana kebanyakkan tidak nampak keburukannya.

Kami adalah golongan yang bangkit dengan nasihat-nasihat dan semangat remeh yang dijayakan melalui komitmen dan pelbagai azam dalam membentuk suatu masyarakat Islam yang lebih baik. Kami buka jalan dakwah melalui silat. Kami membuka jalan ilmu kepada ahli-ahli kami melalui silat.

Ramai minat kepada kerohanian dan kebatinan mahupun kepada rawatan tradisional mahupun rawatan Islam, maka minat anak-anak silat itu kami kotakan. Melalui Silat, kami cuba menjaga akidah agar minat mereka tidak terpesong dengan kerohanian dan kebatinan yang mengarut.

Kami bukan tidak ingin membicarakan isu hangat mengenai Gayong tetapi kami kembali kepada asas, ada ramai gurulatih yang tidak bergelanggang mahupun "lebih sembang" melalui blog mereka tetapi tanpa mereka sedari, tiada usaha untuk mengembangkan Seni Gayong atau mengorbankan harta dan masa mereka ke arah mendidik jiwa anak muda Islam sekarang melalui silat. Tetapi sembang melangit. Penulisan pun agak tajam tanpa mereka sedari tulisan mereka memakan diri.

Sekiranya kami agak cetek pengetahuan Seni Gayong mahupun tidak serapat mana guru tua dan orang-orang hebat Seni Gayong, mungkin itu kami boleh akui. Kami sedari dan akan cuba baiki sebarang kelemahan tersebut. 

Kekadang ada fakta dan penulisan mengenai Silat Seni Gayong agak terpesong daripada pemahaman dan ajaran kepada pihak kami. Kami tidak mahu mengatakan yang mana benar dan salah kerana dalam Seni Gayong sendiri ramai yang fanatik pada fakta dan cerita tertentu.

Malah ada yang suka meletakkan fakta mereka sebagai dominan tanpa memikirkan banyak fakta dan keadaan lain yang perlu dipertimbangkan. Atas dasar tersebut, kami masih tidak menghukum apa jua sumbangan artikel mahupun pandangan sesetengah pihak biarpun agak berbeza dengan kami mahupun gurulatih lain sebagai salah atau betul.

Cuma kami suka ingatkan kepada semua rakan-rakan kami semua dalam perjuangan Silat Seni Gayong bahawa ia adalah ilmu dan dasar pengembangannya adalah ilmu maka ingatlah dan iktiraf segala pesan gurulatih anda dengan mewariskan kesemua pesan-pesan remeh yang pernah disampaikan kepada anda semua suatu ketika dahulu. 

Kami juga sebolehnya merayu kepada rakan-rakan, bahawa perkara remeh yang kita lupa ialah dasar ilmu Seni Gayong yang paling dilupakan ialah gelanggang. Perbanyakan dalam memastikan ia berkembang dan ideologi disiplin dan jatidiri melayu Islam yang diterapkan selama berkurun boleh diteruskan. 

Ia tidak cukup dengan bercakap kosong 

Ia tidak cukup dengan bersembang dalam alam maya dengan penulisan artikel rigid Seni Gayong

Ia tidak cukup dengan melebarkan sayap dengan timbulkan nama baik semata-mata.

Ia tidak cukup dengan pernah membuka gelanggang dan tutup tanpa usaha berterusan selagi berdaya dan sihat.

Ambil iktibar daripada gurutua yang masih sanggup turun padang dalam meneruskan pelajaran Seni Gayong. Ambil iktibar daripada rakan-rakan yang sanggup turun dan meluangkan masa. Mereka juga ada keluarga dan sibuk dengan urusan dunia dan akhirat.

Anda masih melihatnya remeh.. Apa kami nak buat untuk sedarkan anda.

2 comments »

  • Anonymous said:  

    maksih cikgu, jawab scr trbuka gitu

  • shams said:  

    Sekali harung jawab..

  • Leave your response!