Apa bezanya Gayong dengan Silat lain...

Thursday, January 29, 2009 Leave a Comment

salam cikgu sham..ape beza silat gayong dgn silat laen?le cerita x ckit? - Panglima Hitam

Ini soalan ringkas tetapi jawapannya agak tricky. Susah nak jawab dengan tepat dan memuaskan hati setiap orang kerana setiap orang ada pandangan masing-masing. Untuk mengetahuinya dengan lebih jelas, perlulah selami dan mempelajari sendiri apa itu Silat Seni Gayong.

Untuk memahami kulit jawapan kepada soalan tadi. Ini sedikit penerangan ringkas:

Adik beradik Gayong
Sekiranya anda bukan ahli Gayong, mungkin melihat banyak pertubuhan Gayong. Gayong adalah perkataan milik Silat Seni Gayong tetapi ia bukanlah berdaftar trademark. Maka tiada apa yang nak diperjelaskan. Cuma perkataan Gayong ini telah dipakai sebelum Silat Seni Gayong itu sendiri digunapakai oleh Arwah Datuk Meor di Pulau Sudong.

Melalui beberapa perselisihan dan masalah di masa lalu, kini Silat Seni Gayong boleh dilihat dalam beberapa aliran seperti Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM), Pertubuhan Silat Seni Gayong Warisan Serantau (PSSGWS) dan PASAK. Ada beberapa pertubuhan Gayong lain yang tidak besar yang masih asli seperti Pertubuhan Silat Seni Gayong Sundang di Pulau Pinang.

Hakikatnya, kami adalah pertubuhan yang berlainan tetapi masih bersatu dan mengakui adik beradik dan masih memegang sumpah janji di Perlimau Tapak yang sama. Maka tidak hairan kami boleh bersama dalam apa jua majlis tanpa prejudis sesama kami.

Silibus Silat Seni Gayong

Ilmu Gayong terlalu luas dan susah nak dikhatamkan atau ada orang boleh berbangga dengan khatamnya ilmu Gayong dengan Bengkung Hitam atau tempoh berGayongnya;

Gayong ini menekankan kepada beberapa bentuk fizikal terus (daya tahan), fizikal halus (berkaitan ilmu seni, urat, sendi dan beberapa kelemahan manusia itu sendiri) serta kebatinan (melalui amalan tertentu dan ini memerlukan huraian penuh kerana bimbang tersalah anggap ada amalan tertentu bagi tujuan tertentu pula).

Gayong meliputi kepada kesemua aspek pertahanan diri yang merangkumi seni Tangan Kosong (Seni Tangkapan, Seni Kuncian, Seni Pukulan, Seni Kombat, Seni Cekik, Seni Siku dan beberapa lagi termasuk Asas setiap satu), Seni kaki (Asas Tangkapan kaki, Seni Kuncian Kaki, Seni Pukulan Kaki, Asas Jatuhan Kaki) serta Seni Badan itu sendiri (Seni Yoi, Seni Lompatan, Seni Tapak)

Selain daripada tangan dan kaki kosong, Anak Gayong dilatih dengan senjata yang mana setiap satu mempunyai asas, gerakan, tangkapan, kuncian, elakan dan permainan gulung yang berbeza. Yang mana sundang dan parang lain. Begitu juga rotan, simbat, tongkat, tombak, lembing, tongkat panjang dan sebagainya.

Antara senjata yang dimasukkan dalam silibus dan wajib dipelajari ialah Seni Pisau, Seni Parang, Seni Keris, Seni Tombak dan Lembing dan Seni Cindai. Kesemua ini termasuk asas, gerakan, tangkapan, kuncian, elakan dan permainan gulung yang berbeza. Malah permainan senjata ditambah dengan latihan yang mengenakan senjata lebih dari satu.

Antara senjata yang diajar tetapi tidak dimasukkan di dalam silibus kami ialah seni sundang, seni badik, seni kapak, seni tongkat pendek, seni belantan, seni kerambit, seni tekpi, seni keris panjang dan beberapa seni senjata lain yang jarang digunakan.

Keaslian Silat Seni Gayong
Ramai silat mahupun guru menyatakan silat mereka adalah silat yang asli walaupun sejarang secara terangan menyatakan guru pengasas mereka mempunyai latar belakang senibeladiri lain termasuk beberapa silat lain. Malah ada yang mengasaskan silat lain (tidak menggunakan Gayong) tetapi berasal daripada aliran Gayong itu sendiri.

Malah ada persilatan yang berasal nama lain dan mengasaskan nama silat yang lain dan enggan atau malu mengakui persaudaraan dengan nama lama walaupun sejarah terpampang jelas.

Keaslian Gayong adalah ia tidak pernah digabungkan dengan mana-mana seni beladiri lain termasuk mana-mana silat. Ia di ajarkan secara turun menurun dari satu generasi ke generasi baru dengan merasai tangan setiap guru. Namun setelah arus pemodenan berlaku dan Silat Seni Gayong telah disebarkan ke merata tempat dan Arwah Datuk Meor Rahman telah mengarahkan murid-murid tuanya menyusun pelajaran secara tersusun yang kita kenali sebagai Silibus.

Gayong adalah ilmu yang digunakan oleh Hang Tuah dan beberapa pendekar melayu lain yang berpaksi kepada daripada seberang pada zaman dahulu. Malah beberapa penulisan sejarah lama membuktikan bahawa Hang Tuah dan 4 yang lain adalah Anak Gayong melalui pemakaian ilmu-ilmu tertentu yang dibuktikan melalui ilmu dan pengetahuan Arwah Datuk Meor Rahman. Perkara ini tidak dapat diulaskan namun bergantung kepada kajian dan kepercayaan individu.

Susur galur ilmu ini juga telah dibawa oleh 5 Daeng pendekar terbilang, Namun masih ada yang menyambung pelajaran di tempat tertentu. Malah semasa Mat Kilau muncul di Pulau Air Tawar mengisytiharkan beliau masih hidup, Arwah Datuk Meor juga hadir sekali bagi menentukan samada Mat Kilau benar-benar masih hidup atas pesanan Arwah datuk beliau yang Mat Kilau dan beberapa pahlawan Pahang lain adalah adik seguru Tok Jenal, Arwah Datuk kepada Datuk Meor Rahman. Beberapa mentera di baca dan kesemuanya diingati oleh Arwah Mat Kilau.

Namun paling penting, sehingga ke hari ini walaupun terdapat beberapa gurutua atau gurulatih Gayong masih berpegang kepada ilmu yang diajarkan dan diturun oleh pengasasnya Arwah Datuk Meor Rahman dan tidak menokok tambah ilmu persilatan yang lain.

Ada beberapa persoalan mengenai silibus yang agak berlainan dan ada pertubuhan Gayong yang lagi banyak silibusnya. Jawapannya senang kerana PASAK di tinggalkan di Singapura selepas Arwah Datuk Meor pulang ke Tanah Melayu. Gayong Malaysia bersama Arwah Datuk Meor sehingga hayat manakala Pusaka Gayong setakat tahun 1978 apabila Datuk Abdul Majid difitnah pada tahun 1977.

Itu kulit jawapan. Jawapan penuh adalah bergantung kepada individu dan harap jangan membuat prasangka kepada mana-mana silat mahupun prejudis kepada sesiapa sahaja tanpa usul periksa.

Perlu diingatkan bahawa kehebatan Arwah Datuk Meor adalah amat luar biasa dan diakui oleh ramai pendekar. Tetapi kehebatan bukan terletak kepada silibus tetapi kepada latihan individu. Cuma sekiranya diberikan pilihan, mungkin silibus yang padat lebih memberikan peluang ilmu yang lebih.

Kita sering bercakap yang datuk kita boleh buat itu dan ini. Boleh dikatakan semuanya adalah sesuatu yang mencarikkan adat. Hebat sungguh datuk nenek kita zaman dahulu. Bukan kerana ilmu semata tetapi lihat juga amalan mereka. Amalan itu apa? Cuba cari guru dan bertanya..

Cuma saya suka tekankan bahawa kenapa kita nak banggakan datuk nenek kita boleh buat itu dan ini, sedangkan persoalan yang sama tidak mampu kita jawab. Apa kita boleh buat?

3 comments »

  • ibnu said:  

    salam,bley cte byk cket psai perkaitan silat ni ngn arwah mat kilau..salasilah die or warisan die ar..

  • mejar fitri said:  

    tengok gambar mat kilau di profil saya di facebook Mohd Fitri Shuib

  • Admin said:  

    sejarah lama yg sudah lama terkubur dengan cerita ettapi buka lembaran baru dengan sejauh mana jasa kita untuk kembangkannya..

  • Leave your response!