Jawapan Kepada Email (1)

Friday, November 21, 2008 Leave a Comment

Selaku webmaster atau pihak yang bertanggungjawab ke atas laman web www.kksgayong.blogspot.com dan www.freewebs.com/pusakagayong yang kini dilawati oleh pelbagai golongan Anak Gayong mahupun orang luar, pihak kami banyak menerima email mengenai pertanyaan dan pelbagai permohonan (request) daripada pelawat laman-laman web tersebut.

Pihak kami amat berterima kasih dan memohon maaf atas kelewatan dan ketidakmampuan kami untuk menjawab kesemua perkara. Ini disebabkan kebanyakan pertanyaan adalah di luar lingkungan pengalaman dan bidangkuasa serta pengetahuan kami. Selain daripada itu, kami tidak dapat menjawab persoalan anda atas alasan pihak kami bukanlah pihak yang arif mengenai persoalan anda.

Namun bermula daripada hari ini bagi membolehkan pertanyaan-pertanyaan dan info tersebut boleh dikongsi bersama pelawat lain, pihak kami melalui Encik Hisham akan menjawab kesemua soalan yang mampu dijawab dan dianggap selesa untuk tatapan umum akan dijawab terus melalui blog ini. Selebihnya akan dijawab melalui email anda. Bahasa yang digunakan ialah bahasa semudah mungkin. Sebarang kekeliruan, boleh dibuat pertanyaan di bawah.

Ini antara soalan yang terbaru kami terima dan pernah di dijawab secara peribadi sebelum ini;

Email 1 (1): Bagaimana latihan silat di kelab tuan?

Latihan adalah biasa sahaja kerana kami tidak menumpukan kepada kehebatan mahupun apa jua kelebihan kecuali berhasrat untuk berprogram untuk persahabatan, berpersatuan dan demi kesihatan sekiranya kesemua itu di izinkan Allah SWT.

Latihan kepada kanak-kanak dibuat secara berikut;
- Pemanasan badan
- Senaman tambahan seperti jogging keliling, sepakan dan latihan asas lain
- Asas Gayong mengikut bengkong iaitu asas 1-7, Senaman Anak Harimau, Asas Siku, Asas Elakan, Elak Makan
- Buah tangkapan/pukulan dan lain-lain
- Latihan dalam bulatan iaitu latihan latmbahan bagi mengingatkan balik silibus dan buah baru
- Lompatan

Latihan kepada Dewasa pula adalah seperti berikut:
- Pemanasan badan
- Weight Training (Bar Bell, Chest Spring, Sit Up & Sepakan kepada beg tubi sebanyak 40-50 kali setiap satu) selama 20-40 minit.
- Asas Gayong mengikut bengkong iaitu asas 1-7, Senaman Anak Harimau, Asas Siku, Asas Elakan, Elak Makan
- Buah tangkapan/pukulan dan lain-lain
- Buah tambahan (drill atau advance syllabus)
- Latihan dalam bulatan iaitu latihan tambahan bagi mengingatkan balik silibus dan buah baru serta kemasan
- Lompatan

Apa-apa tambahan akan dinyatakan kelak.


Email 1 (2): Amalan yang diberikan kepada anak murid tuan?

Antara amalan yang penting saya terapkan ialah pesanan "Jangan ponteng kelas. Demam sikit mari dok tepi gelanggang"

Dari sudut amalan khas, saya bukan ahli dalam bidang ini tetapi saya cuma pentingkan amalan membaca Al fatihah, Al Ikhlas & Selawat secara konsisten tanpa henti di mana jua tanpa mengharapkan apa kelebihan kecuali keberkatan dan pahala sahaja.

Selain itu, saya cuma mengharapkan beberapa amalan lazim tidak diabaikan oleh pesilat seperti amalan zikir Fatimah selepas setiap kali sembahyang, masa nak tidur dan bangun tidur. Selain itu amalan 3 Qul juga harus disebatikan. Tetapi amalan yang pertama di atas adalah lebih diutamakan.

Selain itu, saya juga menggalakkan Anak Gayong merujuk kitab-kitab doa amalan para Nabi dan juga mana-mana doa yang diajarkan oleh Rasullulah SAW melalui hadis yang sahih serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Serta meninggalkan apa jua amalan, jampi, ayat, atau doa yang tidak tentu asal usulnya.

Amalan kepada gurulatih pula ada beberapa amalan yang baik untuk diamalkan yang biasanya saya bagi kepada gurulatih sahaja. Amalan ini bukan bertujuan tenaga dalam atau apa jua kelebihan tetapi lebih kepada pembentukan diri dan sahsiah. Selain itu membentuk keperibadian yang lebih elok dan baik.

Amalan fikizal pula, saya amat berharap kalau Anak Gayong di bawah didikan kami tidak meninggalkan senaman sit up dan/atau tekan tubi setiap hari dan menggalakkan dilakukan sebanyak 50-300 kali sehari bagi meringankan tubuh. Begitu juga jogging.

Terima kasih.


Email 2: Bagaimana tuan rasa silat boleh membentuk diri yang baik?

Uuntuk bersilat, kita perlu merendah diri dan menghormati samada kepada rakan ataupun guru biarpun usia dan pangkat membezakan kita. Selain daripada itu hanya dengan sikap yang baik dan tolenrasi sahaja yang membolehkan Anak gayong terus lekat di gelanggang melainkan gurulatih tidak menggalakkan sikap sedemikian. namun, saya percaya kesemua gurulatih Gayong dilatih dan dididik dengan sikap yang baik dan selebihnya terserahkan kepada gurulatih sendiri.

Selain daripada itu, semasa saya menerima email ini, saya telah memikirkan kemasukkan silibus tambahan ke dalam ujian bengkung Anak Gayong di bawah didikan saya sahaja. Silibus yang dicadangkan ialah ayat-ayat lazim yang dibaca dan menjadi zikir Rasullulah dan para sahabat yang banyak dikumpulkan melalui penulisan seperti Al Mathurat dan Al Manzil (contoh sahaja). Ayat-ayat tersebut akan dipecahkan mengikut bengkung.

Tujuannya adalah bagi menimbulkan minat anak Gayong terutama kanak-kanak dalam Al Quran sekali gus memastikan Anak Gayong tidak buta al Quran. Ini juga boleh menjadikan motivasi kepada Anak Gayong mahupun ibubapa mereka kepada al Quran. Ini kerana ramai antara anak Gayong pernah saya lihat dan ketahui samada kanak-kanak dan remaja tidak dapat membaca al Quran dengan baik. Malah saya sendiri pernah di tanya oleh seorang remaja di Lembah Klang ini apa itu Al Ikhlas apabila disuruh membuka gelanggang dengan bacaan biasa itu.

Selain daripada itu, berharap dengan pelaksanaan tersebut akan menimbulkan minat dan kecenderungan kepada Islam dan penekanan ke arah al Quran serta Solat akan lebih lagi seterusnya membantu para ibubapa mendidik anak mereka.

Perkara ini hanya diperingkat cadangan dan belum dibincangkan secara terbuka lagi di antara pihak kami dan ibubapa. Namun setakat ini, para Anak Gayong Dewasa dan ibubapa memberikan respon positif mengenai cadangan tersebut.

Terima kasih.


shams

4 comments »

  • JebatDerhaka~ said:  

    Wei! Gelanggang bukan main besaq tapi tadak bayar apa ni!

  • The Chambers of Mohd Hisham Nazir said:  

    Assalamualaikum wbrt.

    Pertama, saya tidak kenal saudara. Oleh itu saya memohon maaf sekiranya ada salah silap daripada anak Gayong muda dan baru belajar seperti saya.

    Kedua, Pembayaran dibuat pada Februari 2007 sebanyak RM160.00 secara serahan tangan kepada Pakndak Majid dan disaksikan. Yang mana sebelum itu Disember 2006, Pakndak menyatakan bahwa kesemua negeri tidak membuat pembayaran kepada pusat kecuali Kelantan sebanyak -+RM100.00 Sila rujuk perlembagaan mengenai pembayaran tersebut& Betulkan sekiranya tersilap.

    Ketiga, InsyaAllah pada tahun ini bayaran akan menyusul dalam masa terdekat setelah semakan dibuat dan mesyuarat telah dibuat tempohari. Dijangkakan pembayaran sebanyak RM125.00.

    Terima kasih atas teguran anda. :)

  • Anonymous said:  

    ada training untuk perempuan tak?

  • The Chambers of Mohd Hisham Nazir said:  

    Ada dibuka untuk peempuan di Bandar Pusat Puchong bagi wanita dewasa dan kanak-kanak permepuan boleh belajar di masjid Puchong Perdana.

    Buat masa ini, kita ada Anak Gayong perempuan kanak-kanak sahaja. Dewasa tiada penyertaan lagi. Namun dialu-alukan.

  • Leave your response!